Isnin, 10 Mei 2010

ANCAMAN BAGI ORANG YANG TIDAK MAHU BELAJAR AL-QURAN

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
Al-Imam Abu al-Hasan 'Aliy bin Ahmad al-Wahidiy (wafat 468H) menulis ketika menfsirkan ayat 124 surah Thaha dalam kitab tafsir beliau, Al-Wajiz Fi Tafsir al-Quran al-'Aziz;
" Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku aiati al-Quran, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit iaitu di neraka Jahannam dan menurut satu pendapat iaitu azab kubur dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta meksudnya buta mata kepalanya." ( Al-Wajiz Fi Tafsir al-Quran al-'Aziz juz 2 halaman 30 )
Al-Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad al-Qurthubiy (wafat 671) ada mengetengahkan hadis berikut dalam kitab beliau Al-Tizkar Fi Afdhal al-Azkar Min al-Quran al-Karim ( halaman 163 );
" Saahabat Abu sa'id al-Khudriy r.a telah meriwayatkan sebuah hadis ia berkata; ' Rasulullah s.a.w telah memberikan khutbah kepada kami, dalam khutbahnya beliau bersabda," bahawasanya tidak ada kebaikan dalam kehidupan bagi orang 'alim yang suka bicara atau orang yang suka mendengarkan pembicaraan orang alim tersebut dengan penuh setia. Wahai manusia sesungguhnya kalian berada pada zaman hudnah dan sesungguhnya perjalanan hidup kalian itu sangat cepat dan kalian sendiri tentu telah melihat malam dan siang bagaimana keduanya suka membinasakan setiap yang baharu dan mendekatkan setiap yang jauh dan mendatangkan setiap yang dijanjikan. kemudian sahabat al-Miqdad bertanya kepada Nabi s.a.w, " Ya Rasulullah apakah erti hudnah? Rasulullah menjawab" iaitu telah berkecamuknya malapetaka dan perpecahan, maka jika datang kepada kalian beberapa perkara yang samar ( tidak jelas ) seperti sebahagian malam yang gelap gulita, maka kalian mesti jangan jauh dari al-Quran itu sungguh sebagai pembela yang akan diterima pembelaannya dan sebagai saksi yang akan dibenarkan kesaksiannya. Maka siapa yang menjadikan ia berada di depannya, maka tentu al-Quran itu akan menuntunnya ke syurga dan sebaliknya siapa yang menjadikannya di belakangnya maka tentu al-Quru itu menuntunnya ke neraka. Al-Quran itu adalah sebagai petunjuk yang paling jelas ke jalan yang terbaik. Siapa yang berbicara berdasarkan al-Quran maka pembicaraannya pasti benar dan siapa yang berbuat sesuatu menurut petunjuk al-Quran , maka pasti perbuatannya itu akan diberi pahala dan siapa yang memutuskan sesuatu perkara menurut petunjuk al-Quran, maka pasti keputusannya itu adil."
Al-Imam al-Hafiz Abu 'Isa Muhammad bin 'Isa al-Turmuziy (wafat 179H) mengemukan hadis berikut dalam kitab Sunan al-Turmuziy ( juz 2, halaman 25 ) ;
" Dari sahabat Ibnu 'Abbas r.a ia berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda; " Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada sedikit pun dari al-Quran, maka dia agaikan sebuah rumah yang roboh"
Marilah kita belajar al-Quran, membacanya, memahami isi kandungannya, mengamalkan ajarannya dan mengajarkannya kepada orang lain. In sya Allah kita akan dituntun oleh al-Quran ke dalam syurga. Wallahu a'lam.

Ahad, 9 Mei 2010

Sebutan Huruf Ta

بسم الله الرحمن الرحيم
لاإله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
Perkara yang pertama yang wajib diketahui oleh orang yang ingin membaca al-Quran ialah mengetahui semua makhraj dan sifat huruf hijaiyyah agar al-Quran dibaca dengan fasih menurut kaedah Bahasa Arab.
Ada orang bertanya kepada saya tentang sebutan huruf Ta ketika ia hidup dan mati. Soalannya ialah apakan ada perbezaan dari sudut sebutan?
Pertama sekali kita harus tahu makhraj huruf Ta dan kemudian kita perlu tahu sifat-sifatnya. Huruf Ta keluar dari hujung lidah yang ditekan pada pangkal gigi gunting atas. Huruf Ta berkongsi makhraj dengan huruf Dal dan Tha.
Sifat-sifat huruf Ta ialah Syiddah, Hams,Ishmat, Infitah, dan Istifal. Sifat kuat yang dimiliki oleh huruf Ta ialah Syiddah dan Ishmat, manakala bakinya iaitu Hams, Istifal dan Infitah adalah sifat-sifat yang lemah. Oleh kerana yang demikian huruf Ta dihukumkan sebagai huruf Mutawasithah ( sederhana ).
Banyak pembaca al-Quran yang silap memahami hakikat sifat Hams sehingga mereka mengatakan huruf Ta mesti disebut dengan Hams iaitu keluar bunyi berdesir sama ada ia hidup atau mati. Kesilapan mereka memahami hakikat Hams pada huruf Ta ini menyebabkan bunyi sebutan huruf Ta ketika mati atau dimatikan ( kerana waqaf ) menyerupai bunyi huruf Siin. Ini kesalahan Jaliy ( terang ) iaitu jelas perubahan huruf Ta sakinah menjadi huruf Siin.
Perkara ini sangat penting sehingga al-Imam Muhammad al-Jazariy memberi peringatan kepada pembaca al-Quran agar berhati-hati ketika melafazkan huruf Ta iaitu dengan memelihara sifat Syiddah ( tertahan suara sebentar );
وراع شدة بكاف وبتا كشرككم وتتوفى فتنتا
" Dan jagalah (peliharalah) olehmu akan syiddah pada Kaf dan Ta umpama kalimah شرككم dan تتوفى serta فتنة "
Saya pernah bertanya kepada Tan Sri Haji Hasan bin Azhari ( semoga Allah merahmati beliau ) semasa mengikuti kuliah Talaqqi al-Quran di masjid Sultan Sulaiman suatu ketika dahulu. Belaiu telah mengajarkan saya sebutan huruf Ta yang betul dan yang salah. Beliau menasihati saya agar selalu mendengarkan bacaan al-Marhum Al-Syaikh Mahmud Khalil al-Hushariy.
Pelajarilah bacaan al-Quran secara bertalaqqi dan musyafahah dari guru al-Quran yang ahli. Pembaca al-Quran yang meniru bacaan al-Quran menerusi kaset atau cd tanpa berguru. Ini cara yang salah. Justeru itu, al-Quran perlu dipelajari dari orang yang ahli dalam bidang bacaan al-Quran agar tidak melakukan kesalahan bacaan. Wallahu a'lam.
Isnin 10.5.2010

Sabtu, 8 Mei 2010

Ilmu tajwid mempunyai 4 rukun

1.Mengetahui semua tempat keluar huruf

2.Mengetahui semua sifat huruf

3.Boleh membezakan sebutan huruf yang tafkhim dan tarqiq apabila berhimpun di dalam satu kalimah

4.Melatih lidah iaitu melakukan ulangan bacaan al-quran

Jumaat, 7 Mei 2010

Qadha Solat Yang Luput

بسم الله الرحمن الرحيم
لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
Apabila seseorang muslim tidak mendirikan solat disebabkan oleh tertidur atau lupa, maka ia wajib mengqaha solat yang luput tanpa ada khilaf di kalangan ulama. Ini adalah berdasarkan yang diriwayatkan oleh al-Bukari dan Muslim daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda;
" Sesiapa yang terlupa untuk mendirikan solat, maka hendaklah didirikannya apabila ia teringat. Tidak ada kaffarah ( yang menghapuskan dosanya ) untuknya melainkan dengan itu ( dengan mengqahanya )."
Imam Muslim juga meriwatkan satu hadis;
" Apabila salah seorang daripada kamu tidur sehingga terluput solat atau terlupa, maka tunaikanlah ia apabila teringat kerana Allah berfirman yang bermaksud " dirikanlah solat untuk mengingatiku."
Adapun solat fardhu yang ditinggalkan dengan sengaja atau kerana malas, ijma' ulama ( majoriti ulama ) mengatakan bahawa ia wajib diqaha. Ini berdasarkan hadis-hadis di atas. Jika orang terlupa atau tertidur masih dituntut atau diwajibkan agar mengaqaha solat yang luput, apatah lagi jika solat tersebut ditinggalkan dengan sengaja, malas atau jahil. Walaupun orang yang yang tertidur atau terlupa sehingga luput solatnya tersebut tidak berdosa, namun ia tetap diwajibkan menidirikan solat yang telah luput. Tetapi orang yang sengaja meninggalkan solat itu bukan sahaja berdosa bahkan wajib membayar hutang solatnya kepada Allah.
Ada pendapat ulama yang mengatakan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja telah kafir. Justeru itu, ia tidak wajib mengqadha solatnya sebab ia telah kafir pada masa itu, dan ia dikira kembali menjadi Islam apabila ia mendirikan solat semula. Manakala solat yang luput, dia tidak diarahkan mengqahanya kerana Islam menghapuskan apa yang sebelumnya ( sebelum Islam )
Namun setelah diteliti di antara kedua-dua golongan ini, dibuat kesimpulan bahawa pandangan yang dikemukakan oleh mojoriti ulama adalah lebih tepat. Oleh yang demikian, marilah kita pastikan semua ahli keluarga kita mendirikan solat fardhu dengan penuh ketaatan dan takut kepada Allah. Untuk keterangan lanjut, sila bertanya kepada ustaz atau tuan guru di tempat anda. Anda juga boleh merujuk kepada kitab al-Mughni:2/107, al-Majmu': 3/68-71 atau buku Salah Faham Terhadap Bid'ah, Dr. Abd. Malik Abd. Rahman As-Sa'adi halaman 153-155 ( Darul Nu'man ). Saya syorkan anda memiliki buku Salah Faham Terhadap Bid'ah tersebut dan membacanya kerana ia isi kandungannya sangat baik sekali dan yang penting ia selaras dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Sekarang banyak buku agama di pasaran yang ditulis berdasarkan fahaman yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah meskipun mereka mendakwa tulisan mereka berdasarkan al-Quran dan al-Hadis. Anda boleh menghubungi pihak Pengedar Erfan Hj. M.A. Ghani di talian 03 26988495. Wallahu a'lam.
Sabtu 8.5.2010

Ahad, 2 Mei 2010

HUKUM MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه أجمعين, أما بعد
Adapun hukum menggerakkan jari telunjuk dalam tasyahhud adalah sunnat. Jari telunjuk hendaklah diluruskan ke arah kiblat.
" Dari Ibnu 'Umar r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w apabila beliau duduk untuk tasyahhud, diletakkan tangannya yang kiri di atas lutut kiri dan tangannya yang kanan di atas lutut yang kanan, dan diakadkan bilangan lima puluh tiga, dan diisyaratkannya dengan jari telunjuknya." ( Hadis Riwayat Muslim )
Maksudnya ialah bahawa dijadikan empu jari yang kanan terbuka di bawah telunjuk, manakala kelingking jari manis dan jari tengah digenggamkan. Disunnatkan menggerakkan jari telunjuk ketika membaca أشهد أن لا إله إلا الله
" Dari Wa'il bin Hujr r.a Bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w meletakkan sikunya yang kanan di atas pehanya yang kanan, kemudian diakadkannya jari-jarinya, iaitu kelingking dan yang mengiringinya ( jari manis dan jari tengah ), dan dibuatnya satu lingkaran dengan jarinya di atas ibu jarinya , lalu diangkat telunjuknya. Aku lihat beliau mengisyaratkan dengan telunjuknya itu." ( Hadis Riwayat al-Baihaqiy )
" Dari Ibnu al-Zubair ia berkata mengenai tasyahhud, katanya; " Bahawasanya Rasulullah s.a.w selalu mengisyaratkan telunjuknya dan tidak digerak-gerakkannya." ( Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasai )
Dari hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w tidak menggerak-gerakkan telunjuk, tetapi baginda hanya menggerakkannya sahaja atau isyarat. Jari telunjuk mula digerakkan semasa kita ingin melafazkan إلا الله dalam أشهد أن لا إله إلا الله dan membiarkan telunjuk itu lurus ke arah kiblat sehingga akhir bacaan tasyahhud atau doa sebelum memberi salam. Bahkan perbuatan menggerakkan jari berulang kali secara berterusan adalah termasuk dalam perkara-perkara yang makruh dalam solat.
Diharap umat Islam tidak mudah meniru amalan yang dilakukan oleh orang lain tanpa ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi sekarang ada fahaman yang mengajak umat Islam hanya berpandukan al-Quran dan Sunnah sahaja, tidak perlu ijma' dan qias. Bahkan ada yang lebih lantang lagi berkata bahawa tidak ada mazhab dalam Islam, jadi kita tidak perlu bermazhab. Perkara seperti ini jika tidak dihadapi dengan kefahaman yang sihata dan benar boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam. Jika ini berlaku, maka ia menguntungkan golongan kuffar. Caranya, umat Islam hendaklah menuntut ilmu agama secara berguru dari mereka yang ahli dalam ilmu-ilmu Islam agar kita selamat dari fahaman-fahaman yang sesat seperti fahaman liberal terhadap Islam. Usah hanya sekadar membaca buku sahaja, tapi rujuklah kepada mereka yang ahli. Bacalah buku tulisan al-Marhum K.H Sirajuddin Abbas, I'TIQAD AHLUSSUNNAH WAL-JAMA'AH. Buku ini SANGAT BAIK dimiliki, dibaca dan dipelajari secara berguru. Sekali lagi belilah buku tersebut, kita tidak akan rugi. Sila hubungi pihak Pustaka Aman Press Sdn. Bhd. atau carilah di kedai-kedai buku agama, in sya Allah anda akan dibantu Allah.Wallahu a'lam.
Kita boleh rujuk perkara ini di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya;
1. Fiqh Syafii jilid 1, Haji Idris Ahmad S.H
2.Al-Fiqh al-Manhaji al-Syafi'iy, Dr Musthafa al-Bugha dan rakan-rakannya, sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.
3. Fath al-Mu'in, Al-'Allamah Al-Imam Zainuddin "Abd al-'Aziz al-Malibariy
Isnin 3 Mei 2010

Sabtu, 1 Mei 2010

MENGHADIAHKAN PAHALA

Baru-baru ini ada orang bertanya kepada saya tentang amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran, tahlil dan zikir kepada mereka yang telah meninggal dunia. Soalannya bolehkah kita melakukannya dan adakah ianya bermanfaat kepada arwah yang kita hadiahkan pahala bacaan al-Quran?
Sebagaimana yang kita yakini bahawa setiap orang Islam yang berakal dan baligh akan mendapat pahala dari Allah kalau ia melakukan sesuatu amalan baik dan ibadat. Seseorang yang bersedekah kepada orang miskin atau faqir mendapat pahala atas amalannya itu, begitulah seterusnya apa sahaja amalan kebaikan yang dilakukan akan diganjari pahala. Keyakinan kita ini berdasarkan janji Allah dalam surah al-Zalzalah (7):
" Maka siapa melakukan kebaikan sebesar zarah sekalipun pasti akan melihat ( mendapat ) pahalanya."
Apabila pahala amalan kita yang sudah ada di dalam simpanan catatan amalan kita itu, bolehkah kita hadiahkan kepada orang lain seperti ibu bapa, sahabat dan sesiapa sahaja, sama ada ia masih hidup atau meninggal dunia, dan adakah ia bermanfaat kepadanya di akhirat?
Jawapannya, kita sebagai golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah beriktikad ( percaya ) bahawa hal itu boleh dilakukan, dan orang yang diberi pahala itu mendapat faedah di akhirat. Kaum Mu'tazilah ( golongan sesat ) berfatwa bahawa hal itu tidak boleh dilakukan dan pula tidak berhasil kalau dilakukan juga kerana orang yang mendapat pahala dari amalannya sahaja.
Golongan Ahli Sunnah Wal Jama'ah mempercayai bahawa kita boleh menghadiahkan pahala amalan kepada orang lain. Biasanya kita mengadakan majlis zikir Tahlil dan bacaan surah Yaa Siin yang pahala amalan zikir tersebut kita hadiahkan kepada ruh Rasulullah s.a.w dan seluruh arwah muslimin dan muslimat. Bahkan kita memohon keampunan dan rahmat kepada Allah untuk diri kita dan semua muslimin dan muslimat yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia. Ini tidak bererti bahawa orang Islam harus menunggu sahaja pemberian dari orang lain, tetapi ia harus melaksanakan perintah Allah dan Rasulullah s.a.wnyang dipikulkan ke atas bahunya dan ia mendapat pahala dari Allah di akhirat kelak. Pahala-pahala yang dihadiahkan orang kepadanya adalahsebagai pembantunya atau untuk menambah tinggi darjat kedudukannya di sisi Allah. Kesimpulannya, setiap orang boleh mendapat pahala ibadat orang lain, kalau pahala itu dihadiahkan oleh orang lain itu kepadanya, atau dengan kata lain; orang lain boleh mendapat pahala dari amalan orang lain.
Dari Ibnu 'Abbas r.a beliau berkata bahawasanya seorang wanita dari suku Juhainah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu bertanya; " Bahawasanya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi ia meninggal sebelum sempat menunaikannya, bolehkah saya menggantikannya untuk menunaikan hajinya? Jawab Rasulullah s.a.w; " Ya, boleh, tunaikanlah haji untuknya!, bukankah jika ibumu berhutang, maka kamu boleh membayarkan untuknya?, maka tunaikanlah, hutangnya kepada Allah lebih berhak untuk dibayar." ( Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dan lain-lain, lihat Fath al-Bari, juzu' 4 halaman 437 )
Menerusi hadis ini, tahulah kita bahawa orang lain boleh menghadiahkan pahala haji untuk orang lain seperti seorang anak menghadiahkan pahala hajinya kepada ruh ibunya. Untuk keterangan yang terperinci dan mendalam, anda boleh membaca buku 40 Masalah Agama tulisan al-Marhum K.H Sirajuddin Abbas, jilid 1 muka surat 194-225. Wallahu a'lam.
Sabtu 1 Mei 2010

Isnin, 19 April 2010

Definasi Bid'ah

Sejak akhir-akhir ini banyak orang yang berkata tentang 'bid'ah' dan cepat pula mengatakan ia haram dan sipelakunya akan dimasukkan ke dalam neraka. Salah satu sebab atau punca ia terjadi disebabkan kejahilan dalam takrif 'bid'ah'. Bahkan ada yang berdasarkan hadis yang mengatakan setiap bid'ah adalah sesat dan setiap yang sesat akan diazab dineraka.

Sesungguhnya hadis tadi tidak salah, tetapi yang salah ialah kefahaman terhadap pengertian 'bid'ah'. Sedangkan persoalan tentang 'bid'ah sudah dijelaskan oleh para ulama' Islam sejak dahulu lagi. Tetapi disebabkan oleh ketiadaan asas pengajian agama, maka seseorang itu mudah terpengaruh dengan fahaman yang kononnya mengajak umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Sunnah semata-mata dan tidak perlu bermazhab.

dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi maklumat dengan umat Islam tentang takrif bid'ah dari sudut bahasa dan istilah Syarak. Bid'ah dari segi bahasa Arab ialah mengadakan sesuatu yang tidak ada contoh sepertinya sebelum ini.Firman Allah ( yang bermaksud ); Allah yang menjadikan langit dan bumi. Kalimah بديع di dalam ayat ini bererti menjadikan tanpa ada contoh sebelumnya.

Bid'ah dari segi istilah pula ialah; mengadakan sesuatu perbuatan atau iktiqad atau mengeluarkan kata-kata yang tidak terdapat keizinannya daripada Syarak samada ia disebut di dalam Al-Quran atau Sunnah atau Ijmak atau qias dan tidak termasuk juga dalam Qawa'id syar'iyyah ( kaedah dan prinsip am dala Islam ). Atau dengan kata lain; Mengadakan sesuatu yang bertentangan dan bercanggah dengan perkara-perkara tadi.

Berdasarkan daripada pengertian ini, dibuat kesimpulan bahawa setiap perkara baru yang berlaku dilihat terlebih dahulu, adakah ia ditunjukkan oleh dalil samada daripada Al-Quran, Sunnah, Ijmak atau qias, sekiranya ada maka ia dikira sebahagian daripada syari'at. Tetapi sekiranya tidak terdapat dalil daripada perkara-perkara yang tersebut tadi, ia hendaklah dilihat pula adakah termasuk di dalam skop Qawa'id Syar'iyyah ( kaedah am ) atau tidak? Sekiranya ada, maka ia adalah sebahagian daripada syari'at dan tidak boleh dianggap 'bid'ah'. Setelah tidak ditemui di dalam Qawa'id Syar'iyyah, barulah boleh dikatakan 'bid'ah dan sesat.

Untuk menambahkan lagi kefahaman kita tentang bid'ah, saya suka mencadangkan agar umat Islam memiliki dan membaca buku;

1. البدعة فى تالمفهوم الإسلامي الدقيق buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia dengan tajuk Salah Faham Terhadap Bid'ah, Dr. Abd. Malik Abd. Rahman As-Sa'adi ( tokoh ulama yang terkenal di Iraq ) diterbitkan oleh Darul Nu'man.
2. Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi oleh al-Sheikh al-Hafiz Abu al-Fadl Abdullah al-Siddiq al-Ghumari ( ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah al-Asha'rah ), Middle East Global (M) Sdn Bhd.