Isnin, 19 April 2010

Definasi Bid'ah

Sejak akhir-akhir ini banyak orang yang berkata tentang 'bid'ah' dan cepat pula mengatakan ia haram dan sipelakunya akan dimasukkan ke dalam neraka. Salah satu sebab atau punca ia terjadi disebabkan kejahilan dalam takrif 'bid'ah'. Bahkan ada yang berdasarkan hadis yang mengatakan setiap bid'ah adalah sesat dan setiap yang sesat akan diazab dineraka.

Sesungguhnya hadis tadi tidak salah, tetapi yang salah ialah kefahaman terhadap pengertian 'bid'ah'. Sedangkan persoalan tentang 'bid'ah sudah dijelaskan oleh para ulama' Islam sejak dahulu lagi. Tetapi disebabkan oleh ketiadaan asas pengajian agama, maka seseorang itu mudah terpengaruh dengan fahaman yang kononnya mengajak umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Sunnah semata-mata dan tidak perlu bermazhab.

dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi maklumat dengan umat Islam tentang takrif bid'ah dari sudut bahasa dan istilah Syarak. Bid'ah dari segi bahasa Arab ialah mengadakan sesuatu yang tidak ada contoh sepertinya sebelum ini.Firman Allah ( yang bermaksud ); Allah yang menjadikan langit dan bumi. Kalimah بديع di dalam ayat ini bererti menjadikan tanpa ada contoh sebelumnya.

Bid'ah dari segi istilah pula ialah; mengadakan sesuatu perbuatan atau iktiqad atau mengeluarkan kata-kata yang tidak terdapat keizinannya daripada Syarak samada ia disebut di dalam Al-Quran atau Sunnah atau Ijmak atau qias dan tidak termasuk juga dalam Qawa'id syar'iyyah ( kaedah dan prinsip am dala Islam ). Atau dengan kata lain; Mengadakan sesuatu yang bertentangan dan bercanggah dengan perkara-perkara tadi.

Berdasarkan daripada pengertian ini, dibuat kesimpulan bahawa setiap perkara baru yang berlaku dilihat terlebih dahulu, adakah ia ditunjukkan oleh dalil samada daripada Al-Quran, Sunnah, Ijmak atau qias, sekiranya ada maka ia dikira sebahagian daripada syari'at. Tetapi sekiranya tidak terdapat dalil daripada perkara-perkara yang tersebut tadi, ia hendaklah dilihat pula adakah termasuk di dalam skop Qawa'id Syar'iyyah ( kaedah am ) atau tidak? Sekiranya ada, maka ia adalah sebahagian daripada syari'at dan tidak boleh dianggap 'bid'ah'. Setelah tidak ditemui di dalam Qawa'id Syar'iyyah, barulah boleh dikatakan 'bid'ah dan sesat.

Untuk menambahkan lagi kefahaman kita tentang bid'ah, saya suka mencadangkan agar umat Islam memiliki dan membaca buku;

1. البدعة فى تالمفهوم الإسلامي الدقيق buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia dengan tajuk Salah Faham Terhadap Bid'ah, Dr. Abd. Malik Abd. Rahman As-Sa'adi ( tokoh ulama yang terkenal di Iraq ) diterbitkan oleh Darul Nu'man.
2. Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi oleh al-Sheikh al-Hafiz Abu al-Fadl Abdullah al-Siddiq al-Ghumari ( ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah al-Asha'rah ), Middle East Global (M) Sdn Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan