Ahad, 2 Mei 2010

HUKUM MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه أجمعين, أما بعد
Adapun hukum menggerakkan jari telunjuk dalam tasyahhud adalah sunnat. Jari telunjuk hendaklah diluruskan ke arah kiblat.
" Dari Ibnu 'Umar r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w apabila beliau duduk untuk tasyahhud, diletakkan tangannya yang kiri di atas lutut kiri dan tangannya yang kanan di atas lutut yang kanan, dan diakadkan bilangan lima puluh tiga, dan diisyaratkannya dengan jari telunjuknya." ( Hadis Riwayat Muslim )
Maksudnya ialah bahawa dijadikan empu jari yang kanan terbuka di bawah telunjuk, manakala kelingking jari manis dan jari tengah digenggamkan. Disunnatkan menggerakkan jari telunjuk ketika membaca أشهد أن لا إله إلا الله
" Dari Wa'il bin Hujr r.a Bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w meletakkan sikunya yang kanan di atas pehanya yang kanan, kemudian diakadkannya jari-jarinya, iaitu kelingking dan yang mengiringinya ( jari manis dan jari tengah ), dan dibuatnya satu lingkaran dengan jarinya di atas ibu jarinya , lalu diangkat telunjuknya. Aku lihat beliau mengisyaratkan dengan telunjuknya itu." ( Hadis Riwayat al-Baihaqiy )
" Dari Ibnu al-Zubair ia berkata mengenai tasyahhud, katanya; " Bahawasanya Rasulullah s.a.w selalu mengisyaratkan telunjuknya dan tidak digerak-gerakkannya." ( Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasai )
Dari hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w tidak menggerak-gerakkan telunjuk, tetapi baginda hanya menggerakkannya sahaja atau isyarat. Jari telunjuk mula digerakkan semasa kita ingin melafazkan إلا الله dalam أشهد أن لا إله إلا الله dan membiarkan telunjuk itu lurus ke arah kiblat sehingga akhir bacaan tasyahhud atau doa sebelum memberi salam. Bahkan perbuatan menggerakkan jari berulang kali secara berterusan adalah termasuk dalam perkara-perkara yang makruh dalam solat.
Diharap umat Islam tidak mudah meniru amalan yang dilakukan oleh orang lain tanpa ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi sekarang ada fahaman yang mengajak umat Islam hanya berpandukan al-Quran dan Sunnah sahaja, tidak perlu ijma' dan qias. Bahkan ada yang lebih lantang lagi berkata bahawa tidak ada mazhab dalam Islam, jadi kita tidak perlu bermazhab. Perkara seperti ini jika tidak dihadapi dengan kefahaman yang sihata dan benar boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam. Jika ini berlaku, maka ia menguntungkan golongan kuffar. Caranya, umat Islam hendaklah menuntut ilmu agama secara berguru dari mereka yang ahli dalam ilmu-ilmu Islam agar kita selamat dari fahaman-fahaman yang sesat seperti fahaman liberal terhadap Islam. Usah hanya sekadar membaca buku sahaja, tapi rujuklah kepada mereka yang ahli. Bacalah buku tulisan al-Marhum K.H Sirajuddin Abbas, I'TIQAD AHLUSSUNNAH WAL-JAMA'AH. Buku ini SANGAT BAIK dimiliki, dibaca dan dipelajari secara berguru. Sekali lagi belilah buku tersebut, kita tidak akan rugi. Sila hubungi pihak Pustaka Aman Press Sdn. Bhd. atau carilah di kedai-kedai buku agama, in sya Allah anda akan dibantu Allah.Wallahu a'lam.
Kita boleh rujuk perkara ini di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya;
1. Fiqh Syafii jilid 1, Haji Idris Ahmad S.H
2.Al-Fiqh al-Manhaji al-Syafi'iy, Dr Musthafa al-Bugha dan rakan-rakannya, sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.
3. Fath al-Mu'in, Al-'Allamah Al-Imam Zainuddin "Abd al-'Aziz al-Malibariy
Isnin 3 Mei 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan