Sabtu, 1 Mei 2010

MENGHADIAHKAN PAHALA

Baru-baru ini ada orang bertanya kepada saya tentang amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran, tahlil dan zikir kepada mereka yang telah meninggal dunia. Soalannya bolehkah kita melakukannya dan adakah ianya bermanfaat kepada arwah yang kita hadiahkan pahala bacaan al-Quran?
Sebagaimana yang kita yakini bahawa setiap orang Islam yang berakal dan baligh akan mendapat pahala dari Allah kalau ia melakukan sesuatu amalan baik dan ibadat. Seseorang yang bersedekah kepada orang miskin atau faqir mendapat pahala atas amalannya itu, begitulah seterusnya apa sahaja amalan kebaikan yang dilakukan akan diganjari pahala. Keyakinan kita ini berdasarkan janji Allah dalam surah al-Zalzalah (7):
" Maka siapa melakukan kebaikan sebesar zarah sekalipun pasti akan melihat ( mendapat ) pahalanya."
Apabila pahala amalan kita yang sudah ada di dalam simpanan catatan amalan kita itu, bolehkah kita hadiahkan kepada orang lain seperti ibu bapa, sahabat dan sesiapa sahaja, sama ada ia masih hidup atau meninggal dunia, dan adakah ia bermanfaat kepadanya di akhirat?
Jawapannya, kita sebagai golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah beriktikad ( percaya ) bahawa hal itu boleh dilakukan, dan orang yang diberi pahala itu mendapat faedah di akhirat. Kaum Mu'tazilah ( golongan sesat ) berfatwa bahawa hal itu tidak boleh dilakukan dan pula tidak berhasil kalau dilakukan juga kerana orang yang mendapat pahala dari amalannya sahaja.
Golongan Ahli Sunnah Wal Jama'ah mempercayai bahawa kita boleh menghadiahkan pahala amalan kepada orang lain. Biasanya kita mengadakan majlis zikir Tahlil dan bacaan surah Yaa Siin yang pahala amalan zikir tersebut kita hadiahkan kepada ruh Rasulullah s.a.w dan seluruh arwah muslimin dan muslimat. Bahkan kita memohon keampunan dan rahmat kepada Allah untuk diri kita dan semua muslimin dan muslimat yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia. Ini tidak bererti bahawa orang Islam harus menunggu sahaja pemberian dari orang lain, tetapi ia harus melaksanakan perintah Allah dan Rasulullah s.a.wnyang dipikulkan ke atas bahunya dan ia mendapat pahala dari Allah di akhirat kelak. Pahala-pahala yang dihadiahkan orang kepadanya adalahsebagai pembantunya atau untuk menambah tinggi darjat kedudukannya di sisi Allah. Kesimpulannya, setiap orang boleh mendapat pahala ibadat orang lain, kalau pahala itu dihadiahkan oleh orang lain itu kepadanya, atau dengan kata lain; orang lain boleh mendapat pahala dari amalan orang lain.
Dari Ibnu 'Abbas r.a beliau berkata bahawasanya seorang wanita dari suku Juhainah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu bertanya; " Bahawasanya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi ia meninggal sebelum sempat menunaikannya, bolehkah saya menggantikannya untuk menunaikan hajinya? Jawab Rasulullah s.a.w; " Ya, boleh, tunaikanlah haji untuknya!, bukankah jika ibumu berhutang, maka kamu boleh membayarkan untuknya?, maka tunaikanlah, hutangnya kepada Allah lebih berhak untuk dibayar." ( Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dan lain-lain, lihat Fath al-Bari, juzu' 4 halaman 437 )
Menerusi hadis ini, tahulah kita bahawa orang lain boleh menghadiahkan pahala haji untuk orang lain seperti seorang anak menghadiahkan pahala hajinya kepada ruh ibunya. Untuk keterangan yang terperinci dan mendalam, anda boleh membaca buku 40 Masalah Agama tulisan al-Marhum K.H Sirajuddin Abbas, jilid 1 muka surat 194-225. Wallahu a'lam.
Sabtu 1 Mei 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan