Ahad, 9 Mei 2010

Sebutan Huruf Ta

بسم الله الرحمن الرحيم
لاإله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
Perkara yang pertama yang wajib diketahui oleh orang yang ingin membaca al-Quran ialah mengetahui semua makhraj dan sifat huruf hijaiyyah agar al-Quran dibaca dengan fasih menurut kaedah Bahasa Arab.
Ada orang bertanya kepada saya tentang sebutan huruf Ta ketika ia hidup dan mati. Soalannya ialah apakan ada perbezaan dari sudut sebutan?
Pertama sekali kita harus tahu makhraj huruf Ta dan kemudian kita perlu tahu sifat-sifatnya. Huruf Ta keluar dari hujung lidah yang ditekan pada pangkal gigi gunting atas. Huruf Ta berkongsi makhraj dengan huruf Dal dan Tha.
Sifat-sifat huruf Ta ialah Syiddah, Hams,Ishmat, Infitah, dan Istifal. Sifat kuat yang dimiliki oleh huruf Ta ialah Syiddah dan Ishmat, manakala bakinya iaitu Hams, Istifal dan Infitah adalah sifat-sifat yang lemah. Oleh kerana yang demikian huruf Ta dihukumkan sebagai huruf Mutawasithah ( sederhana ).
Banyak pembaca al-Quran yang silap memahami hakikat sifat Hams sehingga mereka mengatakan huruf Ta mesti disebut dengan Hams iaitu keluar bunyi berdesir sama ada ia hidup atau mati. Kesilapan mereka memahami hakikat Hams pada huruf Ta ini menyebabkan bunyi sebutan huruf Ta ketika mati atau dimatikan ( kerana waqaf ) menyerupai bunyi huruf Siin. Ini kesalahan Jaliy ( terang ) iaitu jelas perubahan huruf Ta sakinah menjadi huruf Siin.
Perkara ini sangat penting sehingga al-Imam Muhammad al-Jazariy memberi peringatan kepada pembaca al-Quran agar berhati-hati ketika melafazkan huruf Ta iaitu dengan memelihara sifat Syiddah ( tertahan suara sebentar );
وراع شدة بكاف وبتا كشرككم وتتوفى فتنتا
" Dan jagalah (peliharalah) olehmu akan syiddah pada Kaf dan Ta umpama kalimah شرككم dan تتوفى serta فتنة "
Saya pernah bertanya kepada Tan Sri Haji Hasan bin Azhari ( semoga Allah merahmati beliau ) semasa mengikuti kuliah Talaqqi al-Quran di masjid Sultan Sulaiman suatu ketika dahulu. Belaiu telah mengajarkan saya sebutan huruf Ta yang betul dan yang salah. Beliau menasihati saya agar selalu mendengarkan bacaan al-Marhum Al-Syaikh Mahmud Khalil al-Hushariy.
Pelajarilah bacaan al-Quran secara bertalaqqi dan musyafahah dari guru al-Quran yang ahli. Pembaca al-Quran yang meniru bacaan al-Quran menerusi kaset atau cd tanpa berguru. Ini cara yang salah. Justeru itu, al-Quran perlu dipelajari dari orang yang ahli dalam bidang bacaan al-Quran agar tidak melakukan kesalahan bacaan. Wallahu a'lam.
Isnin 10.5.2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan